Sunday, March 30, 2014

AKHLAK PEMACU PEMBANGUNAN UMMAH YANG UNGGUL




Islam amat menitikberatkan soal pembinaan akhlak didalam diri umatnya. Pentingnya kedudukan akhlak di dalam Islam ini sehingga ianya menjadi salah satu misi yang utama diutuskan Rasulullah S.A.W ke atas dunia. Baginda menegaskan dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Sesungguhnya aku diutus hanya untuk menyempurnakan akhlak yang mulia." (Riwayat al-Hakim).

Misi yang telah diwahyukan oleh Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad S.A.W itu telah menjadikan ilmuan barat mengiktiraf Nabi sebagai manusia no 1 paling berjaya merubah peradaban manusia dari zaman kegelapan kepada zaman cahaya Islam. Apabila Siti Aisyah r.a.h di tanya oleh seorang Arab Badawi mengenai akhlak baginda, maka beliau menjawab : “Akhlak Rasulullah saw adalah seperti Al-Quran”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sejarah Islam telah membuktikan bahawa pembinaan akhlak islamiah itu adalah merupakan faktor yang penting dalam membentuk sesebuah masyarakat yang unggul. Rasulullah S.A.W telah mendidik para sahabatnya mengikut acuan yang ditentukan oleh Allah S.W.T. Maka natijahnya ia telah berjaya membentuk sebuah masyarakat yang terbaik, beriman dan bertakwa, berkeperibadian mulia dan amat cenderung dan mencintai kebaikan. Begitu juga umat yang dapat menghindarkan diri dari kejahatan serta sentiasa berusaha mencegah kemungkaran.

Dengan segala kekuatan dan kelebihan yang ada pada umat ketika itu, ianya telah berjaya membina sebuah peradaban yang unggul sehingga tidak dapat ditandingi oleh mana-mana tamadun ciptaan manusia yang lain. Umat Islam ketika itu berpegang teguh dengan prinsip mentaati segala perintah Allah S.W.T dan menjauhi segala laranganNya.

Dengan erti kata lain, segala usaha yang dilakukan hanyalah semata-mata untuk mendapatkan keredhaan dari Allah S.W.T dan rasulNya. Tidak sama sekali melanggar sempadan yang telah ditetapkan oleh syarak yang akan membawa kepada kemurkaan Allah Taala.

Namun, kejayaan ini tidak kekal lama hanya kerana umat Islam pada zaman kini telah jauh terpesong dari landasan sebenar. Tidak menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan utama dalam kehidupan seharian. Tambahan pula dengan kemunculan pelbagai aliran pemikiran yang menyesatkan telah menjadi salah satu punca masyarakat kini jauh dengan Islam.

Apabila manusia telah hilang pedomannya yang utama iaitu Al-Quran dan As-Sunnah, maka ia sekaligus telah meruntuhkan akhlak Islamiah dalam diri seseorang. Punca inilah sebenarnya yang menyebabkan berlakunya gejala sosial yang berleluasa dan semakin meruncing di kalangan masyarakat Islam pada hari ini.

Justeru, kaedah penyelesaian bagi kemelut ini sebenarnya digariskan dengan terang dan nyata oleh Islam. Cuma yang tinggal untuk berusaha menyelesaikan persoalan itu mengikut keimanan, keyakinan dan kebijaksanaan diri. Perkara ini yang akan membimbing untuk menyelesaikan segala permasalahan itu dengan berpandukan al-Quran serta sunnah. Kedua-duanya adalah sumber rujukan yang ditinggalkan oleh Rasulullah.
Prinsip yang digariskan al-Quran dan sunnah ini dihayati sepenuhnya oleh masyarakat yang dibina oleh Rasulullah. Ia mendorong untuk menunaikan hak saudara mereka dengan kadar dan ruang lingkup yang begitu luas. Ia adalah tanda kasih serta cinta mereka yang tulen dan sejati terhadap saudara Islam yang lain.

Hak yang ditunaikan itu bukan saja meliputi hak asas yang ditetapkan oleh Islam. Ia juga membabitkan hak untuk ditegur dengan penuh bijaksana dan dibimbing ke jalan yang benar jika terlanjur melakukan kesilapan. Secara mudah, masyarakat yang dibentuk oleh Rasulullah sentiasa berusaha memastikan saudara Islam mereka yang lain sentiasa terhindar daripada melakukan kemungkaran. Perbuatan yang dianggap menzalimi diri sendiri sehingga mengakibatkan kemurkaan Allah.

Dalam keadaan ini, tidak timbul pula soal hak individu untuk mengatur kehidupan peribadi. Kehidupan individu itu akan memberikan pengaruh terhadap kehidupan bermasyarakat keseluruhannya. Atas kesedaran ini, generasi yang dibentuk oleh Rasulullah sentiasa memikirkan kesan tindakan peribadi mereka terhadap masyarakat umumnya. Mereka sentiasa mendahulukan kepentingan masyarakat berbanding kepentingan peribadi.

Kesedaran itu berjaya mengangkat kedudukan mereka sebagai masyarakat terbaik, terpilih dan berjaya yang disebut oleh al-Quran. Firman Allah bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)..." (Surah Ali Imran, ayat 110)

Akhirnya, renungi kata-kata penyair dan pemikir Muahammad Iqbal (m.d.1938): "Usaha untuk mencontohi (kepemimpinan) Nabi Muhammad menuju jalan kehidupan yang benar adalah dengan mengikuti langkah Baginda. Kegagalan kamu mencapainya adalah suatu kepalsuan dan kesilapan."

Friday, March 21, 2014

OPERASI TERBARU MUJAHIDIN AS-SYABAAB DI SELATAN SOMALIA


BUULOBURDE - Para mujahidin di Selatan Somalia telah melancarkan satu serangan terbaru dalam satu operasi syahid di Somalia yang mensasarkan sebuah hotel di bandar selatan menyebabkan puluhan terbunuh.

Kejadian tersebut berlaku beberapa hari selepas tentera Somalia yang disokong oleh Kesatuan Afrika mendakwa telah mengambil alih bandar tersebut daripada Mujahidin As-Syabaab.

Satu letupan yang meletus di Buuloburde semalam adalah serangan terbaru ke atas serangan pasukan Kesatuan Afrika.

"Seorang pengebom berani mati telah memandu kereta yang dilengkapi dengan bahan letupan menuju ke hotel. Sejurus kemudian, letupan besar meletus dan berlakunya tembak-menembak yang agak sengit, " ujar Moalim Mohamed Adan.

Pegawai keselamatan melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 4 orang telah terbunuh dalam pertempuran tersebut.

Semasa ditemuramah di pejabat berita Reuters, Syeikh Abdiasis Abu Musab, wakil jurucakap operasi ketenteraan As-Syabaab telah mengatakan bahawa,"Seorang Mujahid yang membawa bahan letupan memasuki hotel melalui kereta dan diikuti dengan dua pejuang bersenjata melepaskan tembakan bertubi-tubi."

Beliau turut menambah bahawa 32 tentera Somalia dan Kesatuan Afrika dikenalpasti telah tewas dalam operasi itu.  Hussein Nur, salah seorang warga lain di bandar Buuloburde menyatakan bahawa dia terdengar letupan di hotel Camalow, beberapa ketika itu bunyi tembak-menembak yang berlaku antara tentera dan Mujahidin As-Syabaab selama beberapa jam.

Tentera Kesatuan Afrika yang ditugaskan untuk menjejaki para Mujahidin As-Syabaab bersama pasukan Somalia, dilaporkan berada di lokasi hotel yang menjadi sasaran serangan.

Serangan itu adalah rentetan daripada rombongan tentera ibu negara Mogadishu pada hari yang sama, menyebabkan empat tentera Somalia terbunuh, salah seorang dari mereka adalah kapten tentera.

Sumber : http://map2care.blogspot.com

Thursday, March 13, 2014

Kalam Rasmi Yang Dipertua KPIPM sesi 2014




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Segala puji bagi Allah yang telah memberikan kesempatan untuk sama-sama kita terus menghirup udara di muka bumi Allah S.W.T Selawat dan salam kita panjatkan buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW , barisan pimpinan khulafa’ Ar-Rasyidin, serta ahli keluarga dan kaum kerabat yang telah bersama-sama dalam mendaulatkan Islam sehingga pada hari ini ia diteruskan oleh generasi–generasi pelapis kepada perjuangan yang penuh suci ini.

Firman Allah S.W.T: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) disisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya;(perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisabNya.”

Islam merupakan sebuah sistem yang menyeluruh mencakupi segenap aspek kehidupan manusia dari sudut akidah, ibadah, siasah, ekonomi dan sebagainya. Kepentingan manusia pada hari ini dalam memahami islam itu adalah menjadi satu kewajipan bagi setiap orang yang beriman dengan Allah taala dan rasulNya. Ini kerana dengan kefahaman yang jelas ini akan menatijahkan amal yang baik mengikut landasan yang digariskan oleh syarak. Telah berkata Umar Abdul Aziz r.a: “Siapa yang beramal dengan tanpa ada ilmu maka kerosakan lebih banyak daripada kebaikan”.

Kecelaruan pemikiran pada zaman moden ini telah menatijahkan pandangan yang buruk terhadap islam. Pelbagai aliran pemikiran yang pada zahirnya dilihat untuk meluaskan pandangan islam tetapi hakikatnya ia semakin jauh daripada landasannya yang sebenar. Islam bukanlah agama yang jumud sebaliknya ia merupakan agama yang memberikan kebebasan kepada umatnya untuk bebas berfikir. Ianya merupakan anjuran daripada Allah taala sendiri yang tersebut didalam firmanNya : “Katakanlah (wahai Muhammad) “Perhatikanlah apa yang ada di langit dan di bumi. Tidaklah bermanfaat tanda kekuasaan Allah dan rasul-rasul dalam memberi peringatan bagi orang-orang yang tidak beriman.” Surah yunus:101. Tetapi kebebasan yang diberikan oleh Islam ini mestilah didalam lingkungan yang dibenarkan oleh syarak.

Mesyuarat Agung Tahunan KPIPM kali ke-47 yang telah berjaya dilangsungkan baru-baru ini, ahli KPIPM telah berjaya melakukan perbincangan dalam memutuskan keputusan yang berjaya disepakati. Terdapat satu usul yang disepakati melalui perbincangan ini iaitu:

“Melahirkan mahasiswa dan mahasisiwi yang berketerampilan melalui :
      1.       Pemerkasaan kefahaman Islam yang menyeluruh
      2.      Pemantapan sahsiah dan akhlak Islamiah
      3.      Penguasaan ilmu dan kemahiran dalam pelbagai bidang

Manakala satu pindaan usul telah disepakati iaitu:
“Membenarkan penggunaan komputer di Wisma Darul Ridzuan dengan syarat tertentu dan penggunaan internet pada komputer di tempat yang dikhususkan.”

Hasil daripada pindaan usul tersebut, maka terbatallah matan usul Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) kali ke-44 yang berbunyi:
“ Membenarkan penggunaan komputer di Wisma Darul Ridzuan dengan syarat tertentu dan penggunaan internet di tempat yang dikhususkan.”

Mesyuarat berlangsung dengan baik dan ia juga melihatkan komitmen dari ahli KPIPM yang prihatin di dalam segala isu yang berlaku. KPIPM berharap agar segala komitmen tersebut berkekalan dan meningkat dari satu masa ke satu masa yang lain.

Pihak kepimpinan sesi 2014 akan berusaha sedaya upaya untuk menjayakn satu usul yang telah disepakati tersebut. Namun kebersamaan ahli di dalam merealisasikan usul tersebut juga amat dihargai bersama.

Pimpinan sesi 2014 juga ingin menekankan kepada 5 item penting yang sudah menjadi pegangan KPIPM iaitu :
1. Fikrah      : Membentuk kefahaman Islam yang menyeluruh mengikut acuan Al-Quran    dan As- Sunnah.
2. Thaqafah  : Meningkatkan tahap penguasaan ilmu dari sudut akademik dan kemahiran.
3.  Ukhuwah : Meribatkan ukhuwah Islamiah dalam kalangan ahli bagi membentuk sahsiah yang terpuji.
4.  Kebajikan : Mengoptimumkan kebajikan terhadap ahli dalam pelbagai aspek.
5.  Ekonomi   : Meningkatkan ekonomi demi meneruskan survival KPIPM.

Pihak kepimpinan pada sesi kali ini cukup optimis kepada seluruh ahli KPIPM akan bersama-sama menjayakan kelima-lima item tersebut bagi memastikan KPIPM terus terkehadapan dari segala sudut.

Semoga KPIPM berkekalan menjadi medium kesatuan Islam bagi anak-anak Perak di bumi Mesir ini. Didoakan agar seluruh pembantu agama Allah S.W.T akan diberikan ganjaran olehNya iaitu redha Allah S.W.T.

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS

MOHAMAD HAZIM BIN MOHD HALIM
Yang Dipertua
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2014.


Tuesday, March 11, 2014

Syumulnya Islam pada Teori dan Praktikal




"إنا أنزلنا عليك الكتاب تبيانا لكل شيء"
Maksudnya:
"Dan Kami turunkan Kitab kepada kamu dengan menerangkan setiap sesuatu".
(An-Nahl: 89)

Saban tahun kita melihat masyarakat Islam zaman kini tidak lagi mengamalkan ajaran Islam di dalam kehidupan mereka. Islam yang dikenali sebagai agama yang syumul, lengkap meliputi semua aspek kehidupan tidak lagi terserlah dalam diri individu setiap muslim. Islam itu hanya pada nama tidak lagi diamalkan dengan sebenar-benarnya di dalam kehidupan seharian.

            Andai kita meneliti sejarah silam zaman Rasulullah dan para sahabat, kita akan mendapati betapa tingginya tahap ketamadunan dan kegemilangan umat Islam pada zaman tersebut. Saidina Umar radhiyallahu’anhu pernah berkata : “Kami kaum yang diagungkan kerana Islam”. Mereka sedar dan yakin betapa pentingnya ajaran agama Islam untuk dipraktikkan di dalam kehidupan. Ya, hebatnya mereka kerana Islam itu sendiri.

            Agama Islam itu datang untuk menunjukkan jalan yang lurus daripada yang bengkok, yang gelap kepada yang terang, yang baik kepada yang lebih baik. Matlamatnya jelas untuk membawa manusia kembali kepada Allah. Sabda Rasulullah sallahu’alaihi wasallam : “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak”. Semua perkara meliputi aspek sosial, ekonomi, undang-undang kehakiman, pendidikan, dan sebagainya semuanya diterangkan secara jelas di dalam Al-quran dan As-sunnah.

Islam adalah satu sistem yang menyeluruh yang mengandungi semua aspek kehidupan. Apabila kita melihat ayat-ayat yang terdapat di dalam al-quran dan as-sunnah, boleh dikatakan tiada satu perkara pun yg tidak disebut dan dijelaskan di dalam kedua-duanya. Oleh yang demikian, selaku mahasiswa Islam kita seharusnya lebih mendalami dan mengetahui dengan sebaiknya tentang aspek kesyumulan Islam beserta dalil tentangnya. Malah, perlu sentiasa diaplikasikan didalam setiap gerak kerja, tingkahlaku, perkataan, sikap dan perbuatan.

Sehubungan dengan itu, pihak KPIPM pada tahun ini cuba membawa usul yang menekankan kepada pemerkasaan kefahaman Islam yang menyeluruh dalam kalangan semua ahlinya. Harapannya supaya setiap ahli mampu mendalami dan mengamalkan Islam secara menyeluruh pada masa yang sama mampu membawa masyarakat untuk mengenali Islam yang sebenar.

“BERILMU, BERAMAL, IKHLAS”

“MEMARTABAT KEILMUAN, MEMIMPIN KESATUAN”

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...