Saturday, October 18, 2014

ADAB MEMBACA AL-QURAN

      Diriwayatkan daripada Saidina Uthman Bin Affan R.A berkata: Sabda Nabi Muhammad S.A.W: “Sebaik-baik daripada kamu adalah mereka yang mempelajari Al-Quran.” (Riwayat Bukhari)  

      Al-Quran adalah kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W yang menjadi cahaya petunjuk kepada umat manusia. Maka, umat Islam wajib untuk mengikut isi yang terkandung di dalam Al-Quran supaya ianya menjadi panduan sepanjang hidup hatta di akhirat kelak.  

      Al-Quran yang merupakan kalam Allah yang agung perlu dijaga akan ketulenannya dan menjaga adab-adab dalam membaca dan mempelajarinya. Rasulullah S.A.W pernah membahagikan golongan yang membaca Al-Quran ini kepada beberapa bahagian. Sepertimana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:  

“Perumpamaan orang mu’min yang rajin membaca Al-Quran adalah seperti buah Al-Atrujah yang mana aromanya yang wangi dan rasanya yang sedap, dan perumpamaan orang mu’min yang tidak rajin membaca Al-Quran adalah seperti buah tamar yang mana tiada aromanya dan rasanya yang manis, dan perumpamaan orang munafiq yang rajin membaca Al-Quran adalah seperti buah Raihanah yang mana aromanya yang wangi dan rasanya yang pahit manakala perumpamaan bagi orang munafiq yang tidak rajin membaca Al-Quran adalah seperti buah Hanzhalah yang mana tidak mempunyai aroma dan rasanya yang pahit. (Riwayat Bukhari & Muslim)  

      Untuk menjadi mu’min yang berpegang teguh dengan Al-Quran serta mengamalkan apa yang terkandung di dalamnya, tidak dapat tidak perlu untuk kita mengetahui akan adab-adab serta tatacara untuk membaca serta mempelajarinya. Rasulullah S.A.W menekankan beberapa adab yang perlu umat Islam lakukan dalam mempelajari Al-Quran. Antaranya:  

1) Mengikhlaskan niat hanya kerana Allah S.W.T
Perlu meletakkan niat yang asas hanya semata-mata untuk menambahkan ketaatan dan taqarrub pada Allah S.W.T.  

2) Bersih daripada segala hadas sama ada hadas kecil atau hadas besar
Para ulama’ bersepakat bahawa harus bagi umat Islam membaca Al-Quran dalam keadaan berhadas kecil kecuali hadas besar sama ada junub atau haidh. Akan tetapi, ianya bukan bermakna menghalang umat Islam untuk tidak membaca Al-Quran secara langsung. Bagi mereka yang dalam keadaan hadas besar, harus bagi mereka melihat ayat Al-Quran untuk membacanya dan menggunakan suara hati tanpa melafazkan ayat Al-Quran tersebut.  

3) Menghadap qiblat
Disunatkan bagi kita membaca Al-Quran dengan menghadap qiblat selain solat sepertimana hadis baginda Nabi S.A.W: “Sebaik-baik majlis adalah menghadap qiblat.”  

4) Membaca Isti’azah (memohon perlindungan) Menurut jumhur ulama’, disyariatkan membaca isti’azah untuk memohon perlindungan Allah S.W.T daripada syaitan sepertimana firmanNya yang bermaksud: “Apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu memohon perlindungan kepada Allah daripada Syaitan yang direjam” (Surah An-Nahl : 98)  

5) Membaca basmalah dipermulaan surah kecuali surah At-Taubah

6) Membaca ditempat yang bersih seperti masjid, surau, bilik yang bersih dan sebagainya

7) Disunatkan bersiwak (sugi)

8) Mentadabbur ayat Al-Quran, sepertimana firman Allah: “Al-Quran ini adalah kitab yang Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) yang banyak faedah serta manfaatnya, untuk memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya…" (Surah Shod: 29)

9) Membaca Al-Quran dengan suara yang merdu dan berlagu
Sepertimana sabda Nabi S.A.W: “ Hiasilah (melagukan) Al-Quran dengan suaramu.” (Riwayat Abu Daud)

10) Membaca Al-Quran dengan tartil
Firman Allah S.W.T: “Bacalah al-Quran itu dengan tartil (bertajwid)”. Ummu Salamah pernah ditanya akan cara Nabi S.A.W membaca Al-Quran, lalu Ummu Salamah menjawab:“Rasulullah S.A.W membaca Al-Quran dengan jelas, perkataan demi perkataan.” Tartil yang dimaksudkan di sini adalah membaca dengan jelas mengikut kaedah tajwid dan sebutan huruf yang betul. Ulama’ berpandangan bawa disunatkan untuk tartil dalam bacaan bertujuan untuk mentadabbur dan memahami ayat lebih-lebih lagi daripada kalangan bukan arab (a’jamiyy).  

      Secara kesimpulan yang boleh kita ambil, dalam berpegang kepada ajaran Allah S.W.T, maka perlulah kita untuk menjaga adab kita dalam mempelajari ‘perlembagaan teragung’ yang telah diturunkan kepada rasulNya, Nabi Muhammad S.A.W. Berdasarkan kaedah serta adab yang ditekankan oleh baginda, maka perlulah kita mengikuti sunnah tersebut, supaya Al-Quran ini akan menjadi pegangan teguh yang tersemat di dalam hati kita selaku seorang muslim yang beriman.  

Amar Arif Bin Ahmad Po’aad
Ketua Badan Penerangan & Penerbitan
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) 2014  

Rujukan: At-Tibyan Fi Hamlatil Quran – Imam Nawawi Rahimahullah

No comments:

Post a Comment

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...