Tuesday, October 28, 2025

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2025/2026

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2025/2026
Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2025/2026

Makluman kepada seluruh ahli, berikut adalah direktori Ahli Jawatankuasa Tadbir, Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam & Anggota Badan Penasihat KPIPM sesi 2025/2026

Siruu 'Ala Barakatillah.

#WeStandWithPalestine
#BersamamuPalestin
#KPIPMKeluargaKita
#KeluargaKitaKitaJaga

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Sunday, October 19, 2025

LAPORAN | URUS SETIA SAMBUTAN MAHASISWA BAHARU KPIPM SESI 2023/2024



LAPORAN | PROGRAM URUS SETIA SAMBUTAN MAHASISWA BAHARU 2024 (USMB ’24) 
Biro Pelajaran dan Ilmiah KPIPM sesi 2024/2025

Rasulullah S.A.W bersabda: 

               "من سلك طريقا يلتمس فيه علما سهل الله له به طريقا إلى الجنة " ، رواه مسلم ، وأصحاب السنن عن أبي هريرة.           
Maksudnya: “Siapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya jalan menuju syurga.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Kehadiran mahasiswa/wi baharu ke Pelembahan Nil ini merupakan satu perkara yang menjadi kelaziman pada setiap tahun. Oleh itu, di peringkat Biro Pelajaran dan Ilmiah Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2024/202 telah menganjurkan satu program Istimewa khusus buat mahasiswa/wi iaitu Program Urus Setia Sambutan Mahasiswa Baharu 2024 (USMB ’24) secara berfasa bermula daripada ketibaan mereka pada 24 September 2024 sehingga 13 Februari 2025.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk menyambut kedatangan mereka ke bumi Mesir ini sekaligus menguruskan segala hal ehwal berkaitan dengan pengurusan tempat penginapan, kuliah, barang kendiri dan sebagainya. Dengan hadirnya bakal Azhari/ah ini, maka tema program iaitu “Generasi Rabbani, Penerus Legasi Azhar” dijulang sebagai tema yang bakal menempat di hati dan jiwa mereka selaku penuntut ilmu di bumi Ardhil Kinanah ini.

Antara objektif yang telah digariskan dalam program ini adalah untuk mengeratkan hubungan antara mahasiswa baharu dan mahasiswa lama berkonsepkan ukhuwah islamiah, mengukuhkan kebajikan serta meningkatkan kualiti pengurusan terhadap mahasiwa baharu dan memberi pendedahan awal dari sudut thaqafah mengenai ilmu kontemporari dan turathi serta pengenalan Mesir, al-Azhar, KPIPM dan seisinya kepada mahasiswa baharu.

Terbukanya tirai program setelah diadakan satu taklimat pengisian yang berbentuk secara maya iaitu Ready Ke al-Azhar, Mesir? Persiapan Hebat! Kerjasama dengan Pertubuhan Lepasan Mahasiswa. Pengisian ini telah diadakan pada 28 Ogos 2024, jam 8:00 malam waktu Malaysia melalui aplikasi Google Meet. Antara pengisian yang diberikan ialah “Bersedia Untuk Cemerlang” yang disampaikan oleh mantan YDP KPIPM sesi 2022/2023, Ustaz Muhammad Syafiq bin Zahari. Seterusnya pengisian berkaitan Survival Guide di Mesir yang disampaikan oleh mahasiswa Syariah Islamiah, Ustaz Syed Dhiyaulhaq Qairawani Wafa bin Syed Daniel Wafa dan pengisian yang terakhir iaitu Amanat Terakhir – Jangan Terlepas! yang disampaikan oleh Graduanita Al-Azhar 2008, Ustazah Hafsah Esa.

Pada 24 September 2024, hari yang dinanti-nantikan telah tiba dengan kuantiti seramai 27 orang mahasiswa dan 17 orang mahasiswi baharu telah selamat menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah. Seterusnya, perjalanan mereka diteruskan ke Wisma Baitul Rahman sebagai tempat penempatan bagi mahasiswa baharu dan Wisma Baitul Ridzuan bagi mahasiswi baharu.

Pada 27 September 2024 hari Jumaat, peringkat program USMB ’24 telah mencorakkan langkahnya dengan melaksanakan minggu orientasi iaitu SISWA ’24 bermula 27 September 2024 sehingga 30 September 2024 kemudian disusuli dengan aktiviti yang menarik dan bermanfaat buat mahasiswa/wi baharu. Antara aktiviti-aktiviti SISWA ‘24 yang dapat dilaksanakan pada kali ini ialah Majlis Perasmian, Explore al-Azhar, Celik Ilmiah dan Keluarga Kita, Kita Jaga dan beberapa pengisian menarik yang disampaikan oleh pengisi yang cukup hebat.

Pada 11 Oktober 2024, telah diadakan Program Outdoor USMB ’24 dengan riadah futsal yang bertempat di Arena Champion bagi mahasiswa manakala aktiviti badminton di Court Nadi Syabab bagi mahasiswi. Antara aktiviti yang dilaksanakan selain riadah ialah pengenalan Muzakarah Berkelompok yang dikendalikan oleh fasilitator USMB dan seterusnya sesi bergambar dan jamuan makan tengah hari di wisma.

Bagi bulan November pula,  pada 1 dan 2 November 2024 di peringkat program USMB ’24 mengadakan jaulah Sungai Nil dan Abou Ila’ khusus mahasiswa dan mahasiswi Baharu Perak secara berasingan. Jaulah ini bertujuan untuk membantu mahasiswa dan mahasiswi baharu membeli pakaian sejuk sebagai persiapan menghadapi musim sejuk yang akan tiba sekaligus menikmati keindahan Sungai Nil. Bermula dengan pergerakan pada waktu petang ke Sungai Nil dan menaiki bot cruise sambil meikmati juadah yang dibawa oleh Muzakarah Berkelompok USMB masing-masing kemudian bergerak ke Abou Ila’ di sebelah malam untuk membeli baju sejuk sambil dibantu oleh penggerak dan fasilitator yang terlibat.

Pada bulan Disember 2025, telah diadakan Penerangan Teknik Menjawab dan Pendedahan Soalan Imtihan khusus Mahasiswa Baharu yang bertempat di Bilik Mesyuarat KPIPM. Aktiviti ini melibatkan bidang pengajian Kuliah Syariah Islamiah dan Usuluddin Tahun 1. Pengisi- pengisi tersebut terdiri daripada kalangan pimpinan dan aktivis KPIPM iaitu Ustaz Muhammad Nazreen Faris bin Zaini, mahasiswa Kuliah Syariah Islamiah Tahun 4 Universiti al-Azhar dan Ustaz Muhamad Naqib Ajwad bin Ismail, mahasiswa Kuliah Usuluddin Syukbah Akidah dan Falsafah Tahun 4 Universiti al-Azhar.

Setelah memberi ruang tempoh peperiksaan Al-Azhar, tanggal 13 Februari 2025 telah berlangsungnya Majlis Penutup Program USMB '24 KPIPM  yang dilaksanakan di Dewan Syeikh Sya’rawi, Wisma Baitul Rahman bagi USMB ikhwah manakala Dewan Syeikh Idris al-Marbawi, Wisma Baitul Ridzuan bagi USMB akhawat. 
Bagi majlis disebelah ikhwah dimulakan dengan ucapan Pengarah Program USMB '24, Ustaz Mohamad Arshad bin Mohd Nazri dan diteruskan dengan ucapan Yang Dipertua KPIPM sesi 2024/2025, Ustaz Ahmad Yamin bin Zainal Abidin.
Seterusnya majlis disebelah akhawat dimulakan dengan ucapan Timbalan Pengarah Program USMB '24, Ustazah Sofee Irdina binti Mohd Rodzi dan diteruskan dengan ucapan Ketua HEWI KPIPM sesi 2024/2025, Ustazah Nur Najiah binti Mohd Azhar.
Kemudian, majlis disajikan dengan persembahan oleh fasilitator bersama  mahasiswa-mahasiswa baharu 2024. Antara persembahan menarik yang dipersembahkan ialah Dabus, Pantun, Nasyid, Sajak dan Dikir Barat.
Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah berkumpulan dan penyampaian anugerah Tunas Harapan. Bagi peringkat ikhwah, Anugerah Tunas Harapan dianugerahkan kepada Ustaz Raja Muhammad Hafiz Izhan bin Raja Shoib manakala di peringkat akhawat dianugerahkan kepada Ustazah Nurin Farizah binti Zulzairin.

Majlis diteruskan lagi dengan sesi pertukaran hadiah, tayangan video dari kalangan alumni dan peserta USMB '24. Majlis berakhir dengan sesi bergambar bersama-sama peserta USMB '24 serta dihidangkan jamuan BBQ.


Akhir kalam, bersyukur ke hadrat Ilahi di atas nikmatNya yang tidak terhitung terutamanya nikmat ukhuwah dan nikmat kesatuan yang dikecapi. Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan program USMB ’24 secara langsung atau tidak langsung. Diharapkan setiap gerak kerja dan bantuan yang dihulurkan menjadi bekalan untuk dibawa di akhirat kelak dan diterima olehNya. Insya-Allah.

“Generasi Rabbani, Penerus Legasi Azhari”

#USMB24
#KPIPMKeluargaKita
#KeluargaKitaKitaJaga
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
“MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN”

Disediakan oleh:
Ustaz Muhammad Naqib Salam bin Ahmad Yusri
Setiausaha (Promosi),
Program Urus Setia Sambutan Mahasiswa Baharu 2022 (USMB ’24),
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2024/2025.

Friday, August 1, 2025

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN BERTERUSAN, PEMANGKIN KESATUAN Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2024/2025


MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN BERTERUSAN, PEMANGKIN KESATUAN Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2024/2025

Dalam sebuah komuniti, kebajikan bukan sekadar sebuah tindakan bantuan sesama manusia, bahkan ia adalah asas kepada lahirnya kesatuan, empati dan rasa tanggungjawab antara satu sama lain. Dalam konteks pelajar luar negara, khususnya anak-anak Perak di Mesir, kebajikan bukan hanya memberi, tetapi meliputi mendidik, menyokong dan menjaga ikatan persaudaraan yang dibina atas dasar agama dan perjuangan ilmu.

Allah SWT berfirman: "Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan." (Surah al-Ma’idah: 2). Rasulullah SAW juga bersabda: "Perumpamaan orang-orang mukmin dalam kasih sayang, belas kasihan dan rasa simpati mereka adalah seperti satu tubuh. Jika satu anggota mengadu sakit, maka seluruh tubuh akan turut merasainya dengan berjaga malam dan demam." (HR. Muslim). Ayat dan hadis ini menjelaskan bahawa kebajikan bukan hanya amalan individu, tetapi menjadi ikatan emosi dan spiritual dalam masyarakat Muslim.

Kebajikan (البرّ) menurut Islam merangkumi segala bentuk kebaikan seperti memberi bantuan, menjaga hak, meringankan beban dan menyebarkan kasih sayang dalam masyarakat. Kesatuan (الوحدة) pula ialah keadaan di mana individu-individu bersatu atas matlamat yang sama, berasaskan aqidah dan ukhuwah Islamiyah. Tanpa kebajikan, kesatuan akan menjadi longgar dan akhirnya hilang rasa kebertanggungjawaban antara satu sama lain.

Amalan berkebajikan sangat penting dan diperlukan kerana ia mewujudkan komuniti yang sihat, saling menyokong serta membina kekuatan emosi dan spiritual. Ia juga melatih jiwa untuk lebih sensitif terhadap keperluan orang lain seiring dengan nilai ihsan dalam Islam. Lebih daripada itu, ia menjadi perisai dalam menghadapi cabaran kehidupan perantauan terutama dari sudut kesihatan mental, keselamatan dan tekanan akademik.

Sebaliknya, hidup secara individualistik dalam suasana yang asing dan mencabar akan menatijahkan keseorangan dan tekanan emosi. Tanpa kelompok berkebajikan, seseorang itu akan kehilangan tempat bergantung saat susah atau krisis, dan akhirnya semangat untuk terus berjuang juga akan luntur kerana tidak merasa disokong. Kehidupan pelajar luar negara, jika tanpa badan kebajikan yang menjaga kebajikan, akan mudah menjadi longlai dan hilang arah.

Dalam hal ini, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) telah lama memainkan peranan sebagai benteng dan penampan kepada kebajikan anak-anak Perak di bumi Mesir. Antara peranannya termasuklah menyediakan bantuan kewangan dan kebajikan untuk yang diuji musibah, menyantuni ahli melalui ziarah, rawatan dan perhatian berkala, menyediakan medium aduan, bimbingan dan penyelesaian masalah, serta menganjurkan program berbentuk kebajikan rohani dan jasmani. Inilah bukti bahawa kebajikan yang berterusan menyumbang kepada kesatuan dan kekuatan sebuah organisasi.

Kepada seluruh ahli KPIPM sama ada yang baru atau lama marilah kita terus menyemai nilai kebajikan dalam diri. Jadilah tangan yang memberi, bukan hanya tangan yang menanti. Jangan segan untuk bertanya khabar dan menyantuni sahabat di sekeliling. Jadikan KPIPM bukan sekadar organisasi, tetapi rumah kedua yang memelihara setiap ahlinya dengan penuh kasih sayang. Ingatlah, sekuat mana pun seseorang itu, dia tetap memerlukan sokongan. Dan sekecil mana pun sumbangan kita, ia mampu memberi makna besar kepada orang lain.

Kebajikan bukan tugas satu pihak, tetapi tanggungjawab bersama. Ia adalah pemangkin kesatuan, penguat ukhuwah dan penggerak organisasi. KPIPM akan terus komited dalam misi menjaga kebajikan anak negeri, dengan harapan seluruh ahli bersama-sama berganding bahu meneruskan legasi ini. Semoga Allah merahmati setiap usaha kecil yang dilakukan demi kebaikan bersama. Rasulullah SAW bersabda: "Sebaik-baik manusia ialah yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain." (HR. al-Tabarani).

"KEBAJIKAN BERTERUSAN, PEMANGKIN KESATUAN"

#KPIPMKeluargaKita
#KeluargaKitaKitaJaga
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN

Nukilan daripada:
Ustazah Wan Wardatul Farhah binti Mior Ismail
Ketua Biro Tabung Kebajikan Kesenian dan Riadah HEWI KPIPM sesi 2024/2025

Sunday, July 13, 2025

MINDA PIMPINAN | THAQAFAH DIPERKASA, MAHASISWA BERWIBAWA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2024/2025


MINDA PIMPINAN | THAQAFAH DIPERKASA, MAHASISWA BERWIBAWA
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2024/2025
 
السلام عليكم ورحمة الله وبركة

Sabda Rasulullah SAW:
 "Barang siapa yang menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan mudahkan untuknya jalan ke syurga."
(HR Muslim)

Hadis ini jelas menunjukkan betapa agungnya nilai ilmu dalam Islam. Terutamanya ilmu yang bukan sahaja membentuk minda, tetapi juga membentuk kefahaman dan hikmah dalam tindakan, ciri-ciri utama bagi seorang mahasiswa yang berwibawa.

Thaqafah, secara umumnya, merujuk kepada ilmu yang mendalam. Ia bukan hanya merangkumi ilmu asas agama seperti fiqh dan tauhid, tetapi turut merangkumi ilmu-ilmu semasa yang menyumbang kepada keluasan pemikiran dan kematangan bertindak.

Mahasiswa yang berthaqafah bukan sekadar tahu hukum, tetapi mampu membaca konteks, memahami realiti semasa, dan membuat keputusan berlandaskan neraca syarak. Inilah yang membezakan antara pemimpin masyarakat dan sekadar pengikut arus.

Kerana itu, thaqafah adalah benteng dan bekalan dalam perjuangan. Tanpa ilmu dan kefahaman yang kukuh, kita mudah terpengaruh dengan arus pemikiran asing seperti liberalisme, hedonisme, dan sekularisme, semuanya mencabar keutuhan jati diri seorang Muslim hari ini.

Maka jelaslah, menuntut ilmu itu fardhu, tetapi memperkasa ilmu sehingga menjadi kefahaman, itulah tanggungjawab kita semua.

Sebagai mahasiswa Islam, lebih-lebih lagi yang kini menuntut ilmu di bumi Mesir, bumi para ulama dan warisan keilmuan Islam, kita memegang satu amanah besar untuk memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin. Bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi untuk disebarkan kembali kepada masyarakat.

Firman Allah SWT:
"Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat."
(Surah Al-Mujadalah: 11)

Dan sabda Nabi SAW:
 "Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para nabi."
(HR Abu Dawud dan At-Tirmizi)

Ini membuktikan, ilmu bukan sekadar alat duniawi, tetapi wasilah menuju Allah, satu bentuk ibadah dan tanggungjawab yang mesti dipikul dengan kesedaran dan rasa cinta.

Seiring dengan itu, KPIPM sebagai badan induk mahasiswa Islam Perak di Mesir sentiasa berusaha menyediakan ruang dan peluang untuk ahli memperkasa thaqafah masing-masing.

Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuklah, Kelas Talaqqi Hadis, Tafaqquh Fiddin, Halaqah Ilmiah secara mingguan dan bulanan.
Program-program ini menjadi tunjang penting dalam membina asas kefahaman agama yang kukuh dalam kalangan ahli.

Menariknya, pengisian-pengisian yang dianjurkan KPIPM tidak hanya tertumpu kepada ilmu turathi semata-mata. KPIPM juga mengadakan program bersifat kontemporari, yang menyentuh pelbagai isu semasa dan ilmu realiti melalui Raudhatul Fatayat, Muzakarah Berkelompok dan lain-lain program yang bersifat interaktif dan membina.

Semua ini adalah ruang terbuka untuk ahli menambah ilmu dan memperluaskan thaqafah dalam suasana yang harmoni, sesuai dengan keperluan semasa mahasiswa Islam hari ini.

Semoga segala usaha dan pengisian ini menjadi galakan buat kita semua agar terus melibatkan diri dalam program-program ilmu yang dianjurkan. Ingatlah, ilmu tidak akan datang bergolek. Kitalah yang mesti mencari, menuntut, dan berkorban demi memilikinya.

Saya akhiri dengan kata-kata penuh makna daripada Imam Syafie:

“Jika kamu tidak sanggup menanggung penatnya belajar, maka kamu akan menanggung hinanya kejahilan.”


Ilmu tidak tumbuh tanpa usaha.
Thaqafah tidak subur tanpa minat dan pengorbanan.
Jadilah mahasiswa yang bukan hanya cemerlang dalam akademik, tetapi juga berilmu, berakhlak dan berperanan dalam masyarakat.

Mari kita bina generasi mahasiswa yang berilmu, memiliki fikrah yang jelas, kefahaman yang mantap, dan jiwa yang besar.
Itulah mahasiswa berwibawa.
Itulah masa depan ummah.

Sekian.
وعليكم السلام ورحمة الله وبركة

"THAQAFAH DIPERKASA, MAHASISWA BERWIBAWA"

#KPIPMKeluargaKita 
#KeluargaKitaKitaJaga 
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM   

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS 
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Nukilan daripada:
Ustaz Ahmad Yamin bin Zainal Abidin
Yang dipertua (Biro Pelajaran & Ilmiah) Keluarga Pelajar-pelajar Islam Mesir sesi 2024/2025

 

Monday, November 18, 2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024



LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36)
KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

KAHERAH:- Program Mesyuarat Agung Tahunan kali Ke-58 & Mesyuarat Tahunan HEWI (MAT-58 & MTH-36) sesi 2023/2024 anjuran Jabatan Setiausaha Agung Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2023/2024 dengan bertemakan “Syura Pemacu Wadah Kesatuan”.

Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-58 dan Mesyuarat Tahunan HEWI Kali ke-36 telah berlangsung pada 19 Oktober 2024 bertempat di Dewan Syeikh Idris Al-Marbawi, Wisma Perak Baitul Ridzuan. Program telah dimulakan dengan kalam ucapan daripada Pengarah MAT-58 & MTH-36 KPIPM sesi 2023/2024, Ustaz Hafizh Nurhaziq bin Husin dan diteruskan dengan ucapan perasmian yang telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Wilayah Mesir sesi 2023/2024, Ustaz Nuril Anwar bin Ibrahim. Gimik perasmian MAT-58 & MTH-36 juga telah disempurnakan oleh perasmi.Seterusnya,majlis diteruskan dengan penyampaian anugerah daripada setiap biro KPIPM sesi 2023/2024.


Pada 21 Oktober 2024 bersamaan hari Khamis telah berlangsungnya roadshow yang bertajuk "Bual Bicara Bersama YDP". Roadshow ini telah menampilkan gandingan dua orang pimpinan yang cukup hebat iaitu Ustaz Muhammad Azib bin Azizan,Timbalan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2023/2024 sebagai moderator dan Ustaz Muhamad Naqib Ajwad bin Ismail,Yang Dipertua KPIPM sesi 2023/2024 sebagai panel.Dalam sesi roadshow,beliau telah berkongsi tentang pengalaman dalam dunia kepimpinan.KPIPM juga telah mengadakan iftar jamaie bersama anak-anak Perak sempena puasa sunat hari isnin.

Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-58 dan Mesyuarat Tahunan HEWI Kali ke-36 telah mengadakan Ribat Perdana Khas pada 25 Oktober 2024 bersamaan hari Jumaat.Pihak program telah menjemput Ustaz Muhammad Hadi bin Idris,Pengerusi Lembaga Penasihat Badan Kebajikan Anak Wilayah Mesir sesi 2023/2024 bagi menyampaikan kupasan kitab yang berjudul “Syura Antara Realistik Dan Retorik”.Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada pengisi sebagai tanda ucapan terima kasih.

Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-58 dan Mesyuarat Tahunan HEWI KAli ke-36 telah menjalankan “Malam Cinta Palestin” dengan kerjasama Biro Dakwah dan Tarbiah KPIPM sesi 2023/2024 pada 31 Oktober 2024 bersamaan hari Khamis.Tujuan program ini dijalankan adalah untuk memupuk rasa cinta dan prihatin kita terhadap keadaan negara Palestin.Program telah bermula dengan bacaan Surah Yaasin yang diketuai oleh Ustaz Wan Muhammad Hafiz bin Wan Saleh dan diteruskan lagi dengan alunan qasidah yang dibawa oleh Kumpulan Usrah Muhazzirun.Program diteruskan lagi dengan aktiviti menarik iaitu tayangan video,deklamasi sajak dan persembahan nasyid.Pihak program juga menyediakan jamuan ringan kepada semua hadirin sebelum pulang.

Mesyuarat Tahunan Hewi telah bermula dengan majlis perasmian Mesyuarat Tahunan HEWI kali ke-36 disebelah pagi bertempat di Dewan Syeikh Idris Al-Marbawi, Wisma Perak Baitul Ridzuan.

MTH-36 kali ini telah dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran yang dialunkan oleh Ustazah Nurul Syafiqah binti Nardi dan disempurnakan dengan ucapan Ketua HEWI sesi 2023/2024, Ustazah Iffah Zulaikha binti Arif Iskandar.

Majlis diteruskan dengan perlantikan pengerusi sidang, setiausaha sidang dan pengira undi oleh Ketua HEWI serta briefing pelantikan.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan pembentangan dan pengesahan minit mesyuarat tahunan HEWI kali ke-35, perkara-perkara berbangkit, pembentangan laporan jabatan dan biro disusuli dengan sesi muhasabah dan cadangan daripada para perwakilan dan cabutan bertuah.

Majlis bersambung dengan penyampaian hadiah anugerah Tokoh Mujahidah Mardhatilah dan Tunas Harapan yang dianugerahkan kepada Ustazah Amni 'Arifah binti Mohd Mokhlis dan Ustazah Aida Afifah binti Abdullah. Moga dengan harapan ini dapat dijadikan qudwah dan dorongan kepada semua aktivis untuk terus bersama KPIPM.

Majlis diakhiri dengan ucapan penangguhan daripada Ustaz Muhamad Naqib Ajwad bin Ismail, Yang Dipertua KPIPM sesi 2023/2024. Alhamdulillah majlis berakhir pada jam 5 petang dan berjalan dengan lancar.


Pada 3 Oktober 2024 bersamaan hari Ahad telah berlangsung Mesyuarat Agung Tahunan KPIPM Kali ke-58 bertempat di Dewan Syeikh Idris Al-Marbawi,Wisma Baitul Ridzuan.Program tersebut bermula pada pukul 4.00 petang selepas menunaikan solat Asar berjemaah dan dimulakan dengan ucapan pengerusi majlis,nyanyian lagu serta perarakan masuk pimpinan.Seterusnya,program diteruskan lagi dengan ucapan aluan Yang Dipertua KPIPM sesi 2023/2024 dan pelantikkan pegerusi sidang,setiausaha sidang dan pengira undi.Kemudian, penyampaian taklimat Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-58 telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Nazreen Faris bin Zaini,Setiausaha Agung KPIPM sesi 2023/2024.

Agenda meyuarat diteruskan lagi dengan pembentangan dan pengesahan Minit Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-57 serta perkara-perkara berbangkit.Seterusnya,mesyuarat diteruskan dengan pembentangan laporan aktiviti biro dan jabatan sehingga selesai.Selepas itu,majlis ditangguhkan seketika untuk berehat,solat Maghrib berjemaah dan makan.Program diteruskan lagi dengan slot muhasabah dan cadangan umum KPIPM,penyampaian ithar,Anugerah Tokoh Aktivis dan Anugerah Emas,pembentangan dan pengesahan laporan kewangan dan pelantikkan juruaudit KPIPM sesi 2024/2025.Akhir sekali,ucapan wakil badan penasihat,ucapan Ketua HEWI KPIPM sesi 2023/2024 dan ucapan penangguhan Yang Dipertua KPIPM sesi 2023/2024.

Seterusnya,majlis ditersukan dengan perarakan keluar pimpinan sesi 2023/2024 dan pengisytirahan Ahli Jawatankuasa Tadbir KPIPM sesi 2024/2025 oleh Jawatankuasa Khas Pilihanraya.Kemudian,majlis ditutup dengan ucapan Yang Dipertua KPIPM sesi 2024/2025 dan agihan makanan kepada semua hadirin.


Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan oleh kepada para perwakilan, pemerhati serta seluruh barisan kepimpinan yang bantu melancarkan perjalanan program. Tiada daya dan tiada upaya melainkan Allah SWT yang menggerakkan hati-hati kita semua agar bersatu menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan. Pihak program sangat berharap pelaksanaan mesyuarat pada kali ini dapat menuaikan hasil yang terbaik dan membuahkan natijah yang sempurna di mata sisi Islam. Di samping itu, kami juga mendoakan semoga pelayaran kapal yang akan dipimpin oleh Ahli Jawatankuasa Tadbir dan Ahli Jawatankuasa HEWI KPIPM sesi akan datang agar dapat berlayar dengan baik.

Thursday, November 7, 2024

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2024/2025

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2024/2025
Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2024/2025

Makluman kepada seluruh ahli, berikut adalah direktori Ahli Jawatankuasa Tadbir, Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam & Anggota Badan Penasihat KPIPM sesi 2024/2025

Siruu 'Ala Barakatillah.

#60TahunSetiaBersama
#KPIPMKeluargaKita
#KeluargaKitaKitaJaga

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Tuesday, October 15, 2024

MINDA PIMPINAN | MEMBINA GENERASI HARAPANUnit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024




MINDA PIMPINAN | MEMBINA GENERASI HARAPAN
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 

بسم اللّٰه الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين أما بعد

Firman Allah SWT didalam kitab al-Furqan :

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُوْنُوْٓا اَنْصَارَ اللّٰهِ كَمَا قَالَ عِيْسَى ابْنُ مَرْيَمَ لِلْحَوَارِيّٖنَ مَنْ اَنْصَارِيْٓ اِلَى اللّٰهِۗ قَالَ الْحَوَارِيُّوْنَ نَحْنُ اَنْصَارُ اللّٰهِ فَاٰمَنَتْ طَّاۤىِٕفَةٌ مِّنْۢ بَنِيْٓ اِسْرَاۤءِيْلَ وَكَفَرَتْ طَّاۤىِٕفَةٌۚ فَاَيَّدْنَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا عَلٰى عَدُوِّهِمْ فَاَصْبَحُوْا ظٰهِرِيْنَ

Maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman, jadilah penolong-penolong (agama) Allah sebagaimana Isa putra Maryam berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia, “Siapakah para penolongku menuju kepada (pertolongan) Allah?” Para pengikutnya yang setia itu berkata, “Kamilah penolong-penolong (agama) Allah.” Maka, segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan (yang lain) kufur. Lalu, Kami menguatkan orang-orang yang beriman menghadapi musuh-musuh mereka sehingga menjadi orang-orang yang menang". (Surah as-Saff :14)

Didalam kamus dewan bahasa dan pustaka edisi keempat menyebutkan, maksud generasi adalah kumpulan atau individu yang lahir pada waktu yang lebih kurang sama atau seangkatan manakala maksud harapan adalah sesuatu atau seseorang yang diharapkan.

Maka, maksud generasi harapan adalah generasi muda yang mampu memikul amanah dan bertanggungjawab dalam menentukan hala tuju masa depan negara mengikut garis panduan yang telah ditetapkan dalam Islam.

Tanggungjawab membawa risalah Islam adalah tanggungjawab yang berat. Maka golongan pemudalah yang bertanggungjawab untuk memikul amanah ini. 

Pemuda adalah individu atau aset dalam membina dan mencetak penerus legasi. 

Kerana apa ditekankan golongan pemuda?
Kerana para pemuda mempunyai semangat juang yang tinggi, tubuh badan yang kuat dan sihat serta akal fikiran yang tajam dan cerdas.

Firman Allah SWT:
لَهُۥ مُعَقِّبَٰتٞ مِّنۢ بَيۡنِ يَدَيۡهِ وَمِنۡ خَلۡفِهِۦ يَحۡفَظُونَهُۥ مِنۡ أَمۡرِ ٱللَّهِۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ سُوٓءٗا فَلَا مَرَدَّ لَهُۥۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ
Maksudnya : “Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya secara bergiliran, dari depan muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya, Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tiada sesiapa pun yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tiada sesiapa pun menjadi pelindung bagi mereka selain daripada-Nya". (Surah al-Ra‘d: 11)

Tidak boleh dinafikan peranan anak muda dalam melakukan perubahan terhadap sesuatu umat.

Tanggungjawab kita selaku Azhari/ah yang menjadi pemula dalam mengamalkan cara hidup Islam serta menegakkan hukum Islam dalam kalangan manusia dan seharusnya kita meyakini bahawasanya kerja agama ini adalah wajib ke atas setiap individu muslim. 

Setiap muslim mestilah bersedia untuk dilatih, banyak berkorban dan mempunyai disiplin yang tinggi. 

Mari kita telusuri sirah agung nabi SAW, bagaimana permulaan atau pentarbiahan dakwah beliau dimulai dengan golongan pemuda. 

Kita lihat juga bukti kekuatan generasi pemuda dalam sejarah Islam. Salah satunya kisah Salehuddin al-Ayyubi, beliau pernah mengharapkan bahawa dialah insan yang akan membuka dan menawan semula kota Baitul Maqdis. Akhirnya, harapan beliau terlaksana. Memang beliaulah insan terpilih yang telah ditakdirkan merebut kembali kota tersebut.

Agak-agak Islam akan sampai kepada kita sekarang tak jika Nabi Muhammad SAW tak bina pelapis? 

Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir juga tidak terlepas daripada melahirkan penerus legasi. Unit Pusat Sumber Tenaga (PESAT) merupakan satu-satunya unit berada di bawah Jabatan Setiausaha Agung KPIPM. Unit ini bertujuan melahirkan dan memperanankan tenaga pelapis bagi meneruskan kelangsungan KPIPM pada masa akan datang. Natijahnya, ramai pelapis yang dapat dilahirkan dan menjadi tulang belakang membantu pergerakan KPIPM. 

Antara kelas yang dijalankan di bawah unit pusat sumber tenaga adalah kelas Adobe Photoshop, Kelas Pengucapan Awam dan Etiket & Protokol. 

Kelas-kelas ini dipilih untuk melahirkan tenaga pelapis yang dapat membantu pergerakan di peringkat KPIPM. 

Justeru itu, marilah sama-sama kita berganding bahu dalam membina generasi harapan agar kelangsungan dan perjalanan kesatuan ini terus bergerak dengan baik. Peranan orang lama yang sarat dengan hikmah dan pengalaman di tambah pula dengan orang baru yang penuh dengan semangat dan tenaga. 

Kesimpulannya, hakikat setiap generasi memiliki kekurangan dan kelebihan masing-masing. Oleh itu, terpundak ke atas diri kita dalam membentuk generasi yang berkualiti dan cemerlang dunia akhirat.

"Membina Generasi Harapan"

#60TahunSetiaBersama
#KPIPMKeluargaKita 
#KeluargaKitaKitaJaga 
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP #BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM   

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS 
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"   

Nukilan daripada : Ustaz Ainun Fathiah binti Ahmad Kemunchak
Setiausaha HEWI KPIPM sesi 2023/2024

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2025/2026

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIP...